HOME
COMPILER
DOWNLOAD
PRODUCTS
ENGINEERING
GUEST BOOK
TAZKIRAH
Aqidah
Hati dan Zikir
Amalan Ikhlas
EQ Thinking
Kisah Rasullullah
Kisah saidatina Fatimah
SAJAK
MyBlog
|
Aqidah Teras Kecemerlangan Dakwah - abdkadir @ 22:39 PST
Oleh : Ustaz Mohd Asri b. Yusuf.
Kubang Kerian,
Kelantan.
1. Terpilihnya Umat Islam dari antara umat-umat manusia dan teristimewanya
mereka dari yang lain ialah kerana mereka mempunyai dua cirri utama
kemajuan, kebahagiaan dan kecemerlangan manusia di dalam hidup ini iaitu
aqidah dan dakwah. Allah s.w.t. berfirman bermaksud :
"Kamu adalah sebaik-baik umat yang telah
dikeluarkan untuk manusia. Kamu menyuruh melakukan kebaikan dan mencegah
daripada perkara mungkar dan kamu beriman kepada Allah, dan sekiranya
ahlul kitab itu beriman (seperti kamu) tentulah itu lebih baik bagi mereka.
Diantara mereka ada yang beriman dan kebanyakan mereka adalah orang-orang
fasik." (Ali Imran : 110)
Di dalam ayat Allah menyatakan sebab kepada terpilihnya umat Islam itu
iaitu mereka mempunyai aqidah yang diakui oleh Allah s.w.t. dan
melaksanakan dakwah dengan menyuruh masyarakat melakukan perkara yang baik
dan mencegah mereka dari perbuatan mungkar.
Kedua-dua cirri utama ini tidak ada pada mana-mana penganut agama-agama
atau fahaman-fahaman yang lain selain Islam sehingga ahlul kitabpun yang
sememangnya diketahui sebagai golongan yang mempunyai aqidah dan beragama
tetapi tidak adanya konsep aqidah yang murni dan amar ma'ruf nahi `anil
mungkar pada mereka itu, maka Allah s.w.t. mengatakan :
"......jika mereka beriman seperti kamu, itu
lebih baik bagi mereka......."
Ahlul kitab yang pernah dipuji oleh Allah s.w.t. juga mempunyai cirri-ciri
yang disebutka tadi, Allah s.w.t. menyatakan tentang mereka di dalam
firman yang bermaksud :
"Mereka beriman dengan Allah dan hari
penghabisan, mereka menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang
mungkar dan bersegera kepada pelbagai kebajikan, mereka itu termasuk
orang-orang yang soleh." (Ali Imran : 114)
2. Apakah yang soleh dan bersih daripada segala bentuk syirik dan bid'ah
serta khurafat merupakan penentu kepada kejayaan dakwah kerana ia
merupakan factor dalaman yang menggerakkan jentera dakwah itu. Ia juga
merupakan asas yang kuat kepada orang-orang yang akan menegakkan amar
makruf fan nahi `anil mungkar kerana ia akan mencetuskan :
i) Keikhlasan dan rasa tanggungjawab di dalam diri penganut-penganutnya.
Ini tergambar pada keikhlasan para rasul yang menyampaikan ajaran Allah
s.w.t. kepada manusia seperti yang disebutkan oleh Allah s.w.t. di dalam
al-Quran yang bernaksud :
"Aku tidak meminta apa-apa balasan daripada
kamu, balasan ku hanya ada pada tuhan semesta alam."
ii) Memberi ketenangan dan kebahagiaan kepada seseorang di dalam melakukan
apa sahaja amalannya kerana ia hanya mempunyai satu sahaja tuan atau tuhan
yang dihadapkan segala amalan itu kepadanya, kerana tentu sekali orang
yang mempunyai banyak tuhan akan berada dalam keadaan serba salah dan
gelisah lantaran tuntutan atau perintah dan larangan tuan-tuan yang
berbeza-beza itu dan seringkali bercanggah.
Perkara ini dapat dilihat di dalam firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Allah membuat perumpamaan iaitu seorang
laki-laki (hamba) yang dimiliki oleh beberapa orang yang berkongsi dalam
keadaan berselisih dan seorang lagi yang menjadi milik penuh bagi seorang
laki-laki (sahaja). Adakah kedua-dua hamba itu sama halnya? Segala puju
bagi Allah tetapi kebanyakan mereka itu tidak mengetahui." (az-Zumar
: 29)
iii) Keyakinan bahawa merekalah golongan yang paling tinggi dan berbahagia
kerrana memiliki kemerdekaan jiwa dan bimbingan serta tuntutan daripada
tuhan dalam menjalani hidup mereka di dunia. Jesteru tidak mungkin
seseorang yang memiliki aqidah Islam yang betul dan begitu mahal nilainya
akan merasa terhina dan rendah diri. Ini dapat kita lihat pada jaminan
Allah s.w.t. dalam firmannya yang bermaksud :
"Janganlah kamu bersikap lemah (hina diri) dan
janganlah (pula) kamu bersedih hati padahal kamulah orang-orang yang
paling tinggi (darjatnya) jika kamu orang-orang yang beriman." (Ali
Imran : 139)
iv) Aqidah Islam yang betul juga akan melahirkan keyakinan bahawa kejayaan
dan kecemerlangan di dalam apa jua bidang tidak dapat dicapai oleh mereka
dengan semata-mata berangan-angan dan berupa seperti orang-orang yang
beriman bahkan ia, menunutut perlaksanaan tuntutan aqidah dan imannya.
Hal ini telah dinyatakan oleh Hasan al-Basri dalam kata-katanya yang
bermaksud :
"Tidaklah iman itu dapat dicapai dengan hanya
berangan-angan dan berupa seperti orang yang beriman, tetapi iman itu
ialah sesuatu yang tetap di dalam hati dan dibuktikan oleh tindakan."
(kitab al-Iman, hal. 117 - al-Hafidz Ibn Taimiyyah)
v) Ia juga memberi jaminan kepada setiap penganutnya bahawa segala amalan
dan penah jerih, susah payah bahkan bencaana dan mala petaka yang
menimpanya tidak hilang dengan sia-sia tanpa diberi sesuatu pahala dan
ganjaran kepadanya apabila ia menghadapinya dengan penuh kesabaran. Ini
adalah suatu jaminan dari Allah s..w.t. yang dapat dilihat dengan jelas
dalam firman nya yang bermaksud :
"Yang demikian itu adalah kerana mereka tidak
ditimpa kehausan, kepayahan dan kelaparan pada jalan Allah dan tidak pula
memijak suatu tempat yang membangkitkan kemarahan orang-orang kafir dan
tidak menimpakan sesuatu bencana kepada musuh melainkan dituliskanlah bagi
mereka dengan yang demikian itu suatu amalan soleh. Sesungguhnya Allah
tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat baik dan mereka tidak
membelanjakan sesuatu perbelanjaan yang kecil dan tidak (yang besar) dan
tidak melintasi sesuatu lembah melainkan dituliskan bagi mereka (amal
soleh pula) kerana Allah akan memberi balasan kepada mereka (dengan
balasan) yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan." (at-Taubah
: 120 & 121)
v) Aqidah yang salah juga menyingkapkan kepada penganut-penganutnya
tentang kezaliman-kezaliman yang merupakan kegelapan di dalam kehidupan
manusia dan kezaliman yang paling besar ialah syirik yang juga merupakan
lawan kepada tauhid, iaitu intisari kepada aqidah Islamiyyah.
Ini dapat dilihat kepada firman Allah s.w.t. yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Luqman berkata kepada
anaknya diwaktu ia memberi pelajaran kepada anaknya : "Hai anakku!
Janganlah kamu mempersekutukan Allah, itu adalah benar-benar kezaliman
yang besar." (Luqman : 13)
3. Tuntutan Aqidah
i) Aqidah adalah sesuatu yang tidak boleh seseorang bertolak ansur
tentangnya. Ini membuktikan betapa pentingnya persoalan aqidah sehingga
daripada sejarah dapat kita mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w. dan para
sahabatnya telah bersikap begitu terbuka di dalam persoalan budaya, bahasa
bahkan dari sudut zahir syariat sekalipun.
Sebagaimana yang kita maklum, bentuk binaan kaabah yang ada kini bukanlah
sepertimana yang pernah dibina oleh nabi Allah Ibrahim a.s. seratus
peratus, kerana sebahagian daripadanya yang dikenali sebagai "Hatim"
atau "Hijr Ismail" itu juga pada asalnya termasuk dalam bagunan
kaabah. Tetapi ketika proses pembinaan bangunan kaabah itu oleh masyarakat
jahiliyyah, mereka tidak mempunyai wang dari sumber yang benar-benar
bersih untuk menyiapkannya seperti asal. Maka mereka meninggalkan bahagian
"Hatim" itu dengan hanya membuat lingkungan sahaja dan nabi
s.a.w. menyatakan selepas Mekah dikuasai, "sekiranya aku tidak fikir
masyarakat ini baru memeluk agama Islam, tentulah aku merobohkannya dan
membinanya seperti asal." Tetapi jelas Nabi s.a.w. tidak
merobohkannya sampai ke akhir hayat baginda s.a.w dan umat Islam terus
menghadap qiblat dalam keadaa itu sampai lah ke hari ini.
Tetapi ketika orang-orang kafir Quraisy meminta supaya nabi s.a.w.
bertolak ansur dengan mereka dalam persoalan aqidah iaitu dengan
membenarkan mereka menyembah berhala sekian-sekian lama kemudian menyembah
Allah pula untuk sekian-sekian lama. NAbi s.a.w. tidak mahu bertolak ansur
dengan mereka sehinggalah akhirnya Allah s..w.t. memerintahkan Nabi s.a.w.
supaya mengatakan kepada mereka melalui firmannya :
"Bagimulah agama mu dan bagikulah agama ku."
(al-Kaafirun : 6)
ii) Aqidah mestilah dijelmakan ke dalm kenyataan melalui dakwah dan segala
tindak tanduk, gerak geri dan pertuturan seseorang atau masyarkat yang
menganutnya. Itulah gambaran orang muslim yang terbaik yang telah
digambarkan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud :
"Siapakah yang lebih baik ucapannya daripada
ucapan orang yang menyeru kepada Allah dan beramal soleh serta ia berkata
- sesungguhnya aku daripada orang-orang Islam." (Fussilat : 33)
iii) Aqidah adalah sesuatu yang mesti disampaikan kepada orang ramai
kerana ia adalah sesuatu yang paling berharga untuk diberikan kepada
seseorang di dalam dunia ini. Jesteru orang yang tidak mempunyai aqidah
yang betul akan rugi di dunia dan di akhirat dan segala amalannya akan
hilang sia-sia sahaja. Allah s.w.t. berfirman yang bermaksud :
"Dan orang-orang kafir itu amalan mereka tidak
ubah seperti fatamorgana di padang yang luas saujana disangka oleh orang
yang dahaga sebagai air sampailah ia datang menghampirinya, tidak
didapatinya apa-apa di situ." (an-Nur :39)
Dan Nabi s.a.w. bersabda bermaksud :
"Demi sesungguhnya sekiranya Allah s.w.t.
memberi petunjuk kepada seseorang dengan sebabmu, itu lebih baik bagi mu
dari dunia dan segala isinya." (hadith riwayat Bukhari, Muslim &
Ahmad)
iv) Aqidah Islam menuntut kita berdakwah sama ada secara individu atau
secara jemaah kerana Islam ialah suatu agama yang memberikan pengharapan
kepada manusia biar bagaimana keadaannya sekali pun, siapapun dia, biar
bagaimanapun dosa dan kesalahan yg telah dilakukannya ; sebaik sahaja dia
memeluk agama islam semuanya akan roboh dan ia akan dikira sebagai seorang
yang baru membina kehidupannya sebagai seorang yang suci dan langsung
tidak berdosa. Nabi s.a.w. bersabda :
"Sesungguhnya Islam itu merobohkan
segala-galanya (dosa) yang pernah dilakukan seseorang sebelum ia menganut
agama Islam." (hadith riwayat Muslim - Ahmad)
v) Setiap orang Islam diperintahkan supaya melaksanakan tuntutan al-Quran
dan as-Sunnah di dalam setiap aspek kehidupan semampu mungkin kerana di
situlah terletaknya kecemerlangan hidup mereka. Allah s.w.t. berfirman
bermaksud :
"Patuhlah kepada Allah (al-Quran) dan patuhlah
kepada Rasul (as-Sunnah)" (al-Maidah :92)
4. Halangan dan gangguan terhadap aqidah. Untuk mendapat ketulinan dan
keberkesanan dakwah kita perlu mengetahuui apakah pula
penghalang-penghalang dan perosak-perosak aqidah itu. Dengan adanya
halangan-halangan atau penyakit-penyakit, seseorang Muslim tidak akan
merasa kemanisan imannya dan ia tidak merasa terpanggil untuk berdakwah di
peringkat serendah-rendahnya sampailah ke peringkat setinggi-tinggi.
Antara yang boelh disebutkan di sini adalah seperti berikut :
i) Ajaran-ajaran yang salah
Ajaran-ajaran yang salah atau penyelewengan di dalam persoalan aqidah
adalah suatu penyakit yang amat merbahaya kepada umat Islam. ajaran-ajaran
yg salah ini sering kali membawa mereka terjerumus ke dalam jurang
kezindikan tanpa disedari, iaitu satu jurang dimana mereka merasakan
mereka telah benar-benar beriman dan menghayati Islam padahal sebenarnya
mereka tidak berada di atas landasan yang sebenarnya.
Antara ajaran-ajaran yang salah yang melanda umat Islam di tanah air kita
ialah :
a) Syiah
b) Qadiani
c) Bahai
d) Al-Arqam
e) Ajaran-ajaran tariqat yang salah
f) Aliran-aliran anti hadith dan lan-lain lagi
ii) Fahaman kebendaan
Yang dimaksudkan dengan fahaman kebenadaan yang merupakan penyakit kepada
aqidah ini bukanlah fahaman yang membuat kita maju di dalam bidang-bidang
kebendaan dan kekayaan tetapi fahaman kebendaan yang dimaksudkan di sini
ialah faham kebendaan yang dianggap sebagai pengukur dan penilai kepada
sesuatu kebenaran.
Faham kebendaan seperti ini akan membawa seseorang jauh dari kebenaran
kerana kebenaran di dalam hidup ini tidak selalunya tegak di atas asas
kebendaan. Oleh kerana fahaman yang seperti ini sangat merbahaya maka
Allah s.w.t. menggambarkan sebahagian daripada sifat-sifat orang-orang
musyrikin Arab yang menolak dakwah nabi s.a.w . Allaah s.w.t. berfirman di
dallam al-Quran bermaksud :
"Dan mereka berkata "kami sekali-kali
tidak percaya kepada mu, hingga kamu memancarkan mata air daripada bumi
untuk kami atau kamu mempunyai sebuah kebun kurma dan anggur lalu kamu
alirkan sungai-sungai di celah kebun yang deras alirannya atau kamu
jatuhkan langit berkeping-keping ke atas kami sebagaimana kamu katakana
atau kamu datangkan Allah dan malaikat-malaikat berhadapan muka dengan
kami atau kamu mempunyai sebuah rumah dri emas atau kamu naik ke langit.
Begitupun kami tidak sekali-kali akan mempercayai kenaikan mu itu sehingga
kamu turunkan kepada kami sebuah kitab yang dapat kami baca."
Katakanlah, "maha suci tuhan ku, bukankah aku ini hanya seorang
manusia yang menjadi Rasul?" (al-Isra' : 90-93)
iii) Bid'ah dan Khurafat
Bid'ah dan khurafat merupakan penyakit dan pembantut kepada perkembangan
dan pertumbuhan aqidah yang sihat. Ia merubah rupa bentuk agama Islam yang
asal dan melahirkan peribadi-peribadi tidak seperti yang pernah dilahirkan
oleh nabi s.a.w dengan berpandukan al-Quran dan as-Sunnah di zaman
permulaan Islam. ia juga memusnahkan imej Islam yang sebenarnya.
Orang-orang yang terlibat di dalam bid'ah dan khurafat akan menganggap
sebahagian daripada agama ini segala-galanya dan mereka akan berada di
dalam keadaan yang tidak seimbang kerana itulah nabi sa.w. ada bersabda
yang bermaksud :
"Tidak diadakan oleh sesuatu golongan satu
bid'ah melainkan akan diangkat seumpamanya dari sunnah nabi. Oleh itu
berpegang dengan sunnah lebih baik daripada mengadakan bid'ah." (hadith
riwayat Ahmad)
Oleh kerana bid'ah itu suatu perkara yang amat merbahaya kepada aqidah
umat Islam maka di tempat yang lain baginda bersabda bermaksud :
"Sesiapa yang menghormati ahli bid'ah,
sesungguhnya ia membantu merobohkan binaan Islam." (hadith riwayat
Baihaqi di dalam "Syu'abu al-Iman)
iii) Pelbagai maksiat
Maksiat-maksiat juga merupakan pengganggu kepada pertumbuhan aqidah.
Kerana itu salah satu cara untuk mengalihkan pandangan umat islam yang
sentiasa digunakan oleh musuh-musuh Islam ialah dengan memperbanyakkan
maksiat.
Maksiat-maksiat yang dilakukan oleh orang islam itu meninggalkan
titik-titik hitam di dalam hati mereka yang jika tidak kerana
maksiat-maksiat itu, hati mereka bersih bagaikan ceermin yang dapat
menerima ajaran al-Quran dan as-Sunnah dengan senang. Kerana itulah ketika
orang-orang kafir Quraish mahu menghentikan dakwah Islam yang semangkin
berkembang di zaman nabi s.a.w , mereka tidak bersetuju dengan beberapa
cadangan yang dikemukakan oleh ahli majlis mesyuarat mereka termasuklah
menuduh nabi s.a.w gila, tukang tenun, menghalau baginda s.a.w , membunuh
dan lain-lain lagi. Tetapi mereka semuanya bersetuju apabila Nadhir bin
al-Harith mencadang kan supaya dibawakan penyanyi-penyanyi, penari-penari
dan alat-alat muzik daripada Parsi untuk memikat hati masyarakat dengan
hiburan-hiburan seumpama itu dan ternyata mereka telah berjaya juga.
iv) Ta'asub dan Fanatik
Ta'asub dan fanatik juga merupakan satu penghalang besar kepada kemurniaan
aqidah dan kecemerlangan dakwah kerana orang-orang yang mempunyai penyakit
ini tidak dapat memandang orang lain dengan pandangan hormat apa lagi
untuk merestui mereka. Segala yang betul ada di pihaknya dan segala yang
tidak betul ada di pihak orang lain.
Ta'asub dan fanatik telah membuatkan umat Islam semenjak dahulu sampai
sekarang berpecah belah padahal apa yang dipertahankan itu hanyalah
persoalan cabangan atau khilafiyyah shaja bukan menyentuh persoalan aqidah
tetapi ia telah menarik sebahagian besar umat Islam ke kancah permusuhan
dan kafir mengkafir antara satu sama lain. Untuk mengubati penyakit ini ,
semestinya kita merujuk kepada sirah Rasulullah s.a.w. dan para sahabat
baginda s.a.w yang mulia. Bagaimanakah sikap terbuka dan tolak ansur yang
telah mereka amalkan.
5. Matlamat dakwah
Matlamat dakwah umat Islam ialah untuk melaksanakan tuntutan aqidah Islam
itu sendiri. Antara yang dapat disebutkan disini ialah :
i) Menundukkan manusia semuanya kepada Allah s.w.t. supaya seragam dengan
alam semesta yang kesemuanya tunduk kepada Allah s.w.t. firman Allah s.w.t.
yang bermaksud :
"apakah kamu tiada mengetahui bahawa kepada
Allah bersujud apa yang berada di langit, di bumi, matahari, bulan,
bintang-bintang, gunung-ganang, pohon-pohon, binatang-binatang yang melata
dan sebahagian besar daripada manusia." (al-Haj : 18)
ii) Persaudaraan dalam erti kata yang sebenarnya dan seluas-luaasnya,
firman Allah s.w.t. bermaksud :
"Sesungguhnya orang mukmin itu bersaudara, maka
hendaklah kamu perbaiki hubungan antara dua saudara kamu dan bertaqwalah
kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat." (al-Hujurat : 10)
iii) mendapat kejernihan jiwa, ketenangan dan kebahagian hidup di dunia
dan di akhirat.
iv) Menjamin keamanan dan kesejahteraan individu, keluarga dan masyarakat.
v) Mendaulatkan hukum hakam Allah s.w.t.
vi) Bertimbang rasa dan bertolak ansur di samping saling membantu diantara
sesama saudara yang bekerja di jalan dakwah demi menegakkan aqidah Islam
yang suci
Penutup
"Ya Allah ! tunjukkanlah kepada kami yang benar itu sebagai benar dan
kurniakanlah kepada kami kemampuan untuk mengikutnya dan tunjukkanlah
kepada kami yang bathil itu sebagai bathil dan kurniakanlah kepada kami
kemampuan untuk menjauhkan diri daripadanya."
|
Nature for Purity
Ocean is always blue
Wild Life is always the beauty
The World is always Round
|